Halaman

Ahad, 18 Oktober 2015

HUBUNGAN ANTARA SOSIO EKONOMI DAN JURANG PENCAPAIAN MATEMATIK DALAM KALANGAN PELAJAR

Jika kita amati video yang telah saya paparkan dalam blog ini, ia merupakan kisah nyata tentang seorang pelajar miskin yang tabah menerima hukuman daripada gurunya disebabkan selalu datang lewat ke sekolah. Masalah datang lewat ini berlanjutan sehingga pada satu tahap guru tersebut ingin mengetahui faktor yang menyebabkan pelajar itu terlambat ke sekolah setiap hari dan akhirnya guru tersebut mengetahui hal sebenarnya. Guru itu mendapati pelajar tersebut datang daripada keluarga susah dimana pelajar tersebut melalui kondisi yang agak mencabar dalam menuntut ilmu. Lantas dari itu, guru tersebut mencari inisiatif membantu pelajar tersebut dengan menyumbang wang. Dari video ini, kita dapat lihat bahawa hubungna antara status sosio ekonomi dengan jurang pencapaian matematik dikalangan pelajar.
         Fokus utama dalam pembicaraan ini adalah tentang perbezaan sosioekonomi mewujudkan jurang pencapaian matematik dalam kalangan pelajar dimana taraf pendidikan, pekerjaan dan pendapatan ibubapa merupakan penentu status ekonomi seseorang pelajar. Secara umumnya, Setiap individu yang dilahirkan adalah berbeza di antara satu sama lain.  Menurut Khairul Yusri (2007), perbezaan individu ini adalah dari segi ketidaksamaan aspek perkembangan secara fizikal, mental, sosial, emosi seseorang. Oleh demikian,  penyediaan segala keperluan sokongan pembelajaran seperti bahan rujukan, alat tulis, komputer, keadaan pembelajaran yang kondusif serta menghadiri kelas tambahan dapat amat diperlukan bagi memperkembangkan pemahaman terhadap ilmu pengetahuan yang dipelajari dan ini akan memberi impak ke atas pencapaian akademik seseorang. Seiring dengan itu, status sosioekonomi juga berkait dengan gaya keibubapaan dan bimbingan, galakkan serta motivasi yang diberi oleh ibu bapa ke atas seseorang anak. Menurut Bronfenbrenner (1979), ibu bapa merupakan agen persekitaran yang paling aktif berfungsi sejak anak itu dilahirkan, memang dapat mempengaruhi perkembangan seseorang anak itu. Gaya keibubapaan yang ibu bapa amalkan atas seseorang anak itu akan dapat memberi implikasi atas perkembangan kognitif dan seterusnya pencapaian akademik anak itu.
            Jika dibuat perbandingan antara perbezaan status ekonomi, anak-anak daripada keluarga yang mempunyai status sosio-ekonomi yang tinggi seperti doktor, pensyarah, guru dan usahawan adalah lebih maju dalam pendidikan dan mempunyai gred yang tinggi berbanding anak-anak yang datang daripada keluarga yang mempunyai status sosio-ekonomi yang rendah. Ini kerana dalam keadaan status sosial yang tinggi, ibubapa dapat menyediakan kemudahan dan persekitaran pembelajaran yang selesa kepada anak-anak mereka. konsep “melentur buluh biar dari rebung” diberi penekanan dimana ibubapa ini mengambil berat hal tentang pembelajaran anak-anak mereka sejak dari kanak- kanak lagi dengan menyediakan keperluan pendidikan secukupnya yang mampu membantu sel-sel otak berkembang. Menurut Bloom (1964) hampir 90% perkembangan otak kanak-kanak  berlaku dengan pantas semasa mereka berumur di bawah 4 tahun. Ini membuktikan bahawa peringkat awal perkembangan kanak-kanak adalah tempoh formatif dan merangkumi detik-detik kritikal dalam pembangunan seseorang individu. Sebaliknya, ibubapa dari status sosio-ekonomi rendah seperti buruh kasar dan petani pula lebih mengfokuskan pada pekerjaan dimana mereka kurang memberi perhatian terhadap keperluan dan pencapaian anak-anak mereka disekolah dan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak sekolah dan guru. Akibat daripada kekurangan perhatian daripada institusi kekeluargaan ini, sesetengah pelajar mengambil sambil lewa hal tentang pencapaian mereka di sekolah dan akhirnya kemerosotan dalam pencapaian akademik akan berlanjutan sehingga mereka tamat sekolah. Dengan berbekalkan keputusan yang kurang cemerlang, pelajar tersebut tidak dapat mencari pekerjaan tetap pada masa akan datang dan ini sekaligus membawa kepada permasalahan kekurangan tenaga kerja yang mahir  mengakibatkan hasrat Malaysia menjadi sebuah negara yang membangun seiring dengan negara- negara maju tidak tercapai.

            Rentetan daripada masalah ini, pelbagai usaha telah kerajaan laksanakan bagi menyelesaikan jurang pencapaian pelajar dari segi sosio-ekonomi menerusi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 dimana kerajaan telah memperuntukkan lebih daripada RM 1.0 billion setiap tahun bagi membantu pelajar dari keluarga miskin dan golongan kurang upaya melalui pelbagai program bantuan seperti rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Susu Sekolah (PSS) RMT yang telah dilaksanakan mulai tahun 1979 sebagai langkah untuk menyediakan bantuan makanan berkhasiat kepada murid miskin dan seterusnya padai tahun 2003, murid-murid ini juga menerima susu segar melalui PSS. Selain itu, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) diwujudkan berikutan pelaksanaan Dasar Pendidikan Wajib pada tahun 2003 untuk membantu murid miskin membayar yuran dan membeli pakaian seragam agar tidak tercicir daripada sistem persekolahan akibat kemiskinan. Tambahan pula, Bantuan Makanan Asrama Pada tahun 2005 di  sekolah rendah dan menengah diberikan dengan Syarat kelayakan adalah pendapatan isi rumah RM1,000 dan ke bawah. Pihak pendidikan Malaysia juga menyediakan Skim Baucar Tuisyen (SBT) menyediakan bantuan SBT kepada murid sekolah rendah yang lemah dalam pelajaran Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan juga menganugerahkan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) dan Biasiswa Kelas Persediaan Universiti (BKPU) kepada pelajar sekolah menengah yang menunjukkan prestasi akademik, kokurikulum dan sukan yang cemerlang. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan