Halaman

Sabtu, 24 Oktober 2015




Matematik merupakan penggerak utama dalam pembangunan dan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi. Dengan itu, penguasaan ilmu matematik perlu berubah dari masa ke semasa bagi menyediakan tenaga kerja yang sesuai dengan perkembangan dan keperluan membentuk sebuah negara. Selaras dengan hasrat membentuk sebuah negara yang berpengetahuan yang tinggi dalam bidang matematik, seharusnya kurikulum matematik yang sesuai dengan keadaan semasa seterusnya sesuai dengan keadaan alaf baru mesti wujud.

Sistem pendidikan di negara Malaysia telah bermula sejak sebelum kedatangan British (1400 – 1786) yang di jalankan secara tidak formal, di mana matematik masa itu dikenali sebagai ilmu Hisab. Secara umumnya, Pendidikan matematik awalan di Malaysia mementingkan kemahiran mengira mudah di sekolah rendah. Pendekatan yang serupa juga diguna pakai di sekolah menengah. Aritmetik, geometri dan algebra diajar secara terpisah-pisah tanpa sebarang usaha ke arah kesepaduan. Dalam proses untuk mencapai keselarasan dalam matematik, terdapat banyak cara dan projek telah dilaksanakan. Perbincangan berikut memperihalkan beberapa jawatankuasa utama yang telah menentukan hala tuju kurikulum matematik di Malaysia. Antaranya ialah:


i.Laporan Razak (1956)

Laporan razak telah mencadangkan supaya kurikulum formal diperkenalkan di semua sekolah kebangsaan kerajaan di Malaysia. Kesannya, kurikulum pendidikan matematik yang rasmi diperkenalkan pada tahun 1956 dimana usaha ini dibuat untuk memberi pendidikan kepada semua kaum. Semua cadangan dalam Penyata Razak termaktub dalam Ordinan pelajaran 1957. Perubahan demi perubahan telah berlaku sehinggalah pelaksanaan projek khas pada tahun 1970.


ii.Laporan Projek Khas (1970)
Projek Khas ini telah ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan diterajui oleh En.Abu Hassan Ali pada tahun 1968 Objektif projek ini ialah untuk memperbaiki mutu pendidikan matematik dan sains supaya selaras dengan perkembangan matematik moden di negara-negara maju. Bahan-bahan pengajaran-pembelajaran direka cipta oleh pensyarah dan guru yang telah dilatih di luar negara.  Hanya terdapat sedikit perubahan kandungan matematik sekolah rendah pada Projek Khas ini. Walau bagaimanapun, strategi serta kaedah berpusatkan guru diperkenalkan. Kaedah inkuiripenemuan digalakkan.  Program ini telah diubahsuai dan diperkenalkan ke semua sekolah rendah dari masa ke semasa sehingga ianya digantikan dengan Matematik KBSR. 


iii. Program Matematik Moden (1970)
Program Matematik Moden diperkenalkan ke sekolah rendah dan menengah pada awal tahun 70an. Tujuan utama program ini ialah memperkenalkan tajuk-tajuk moden di ketika itu seperti teori set, statistik dan vektor yang dipermudahkan. Selain itu, pendekatan tradisi digantikan dengan kaedah semasa.  Sukatan Matematik Moden dirancang oleh Panitia Kurikulum Matematik yang ditubuhkan pada 1969. Sukatan berkenaan dirancang selepas diadakan kajian terhadap kurikulum British School Mathematics Project (SMP) dan Scottish Mathematics Group (SMG). Panitia berkenaan memilih sukatan SMG kerana ianya lebih sesuai bagi murid pelbagai kebolehan di sekolah menengah rendah.  Pada 1972, topik-topik SMP telah diguna pakai bagi pendidikan matematik di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 kerana panitia berkenaan mendapati bahawa ianya lebih sesuai bagi tujuan peperiksaan Sukatan Matematik.  Dua buah buku teks iaitu Matematik Moden Tingkatan Empat dan Matematik Moden Tingkatan Lima telah diterbitkan pada 1974 dan 1975.  Seterusnya, kedua-dua sukatan menengah rendah dan menengah atas iaitu Sukatan Matematik Moden Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima telah disatukan pada 1978.  Satu pertiga daripada Sukatan Matematik Moden mengandungi topik-topik baru seperti sistem pernomboran, pemetaan, transformasi geometri, matriks dan statistik.  Strategi pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid dan bahan manipulasi terus digalakkan.

 
iv. Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) (1983)

KBSR dilaksanakan pada tahun 1983 berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan (1979). Melaluinya, kurikulum matematik telah mengalami perubahan yang besar daripada Kurikulum Matematik Moden. Perubahan utama ialah mengurangkan kandungan matematik supaya menjadi lebih sesuai dengan kebolehan murid. Sukatan pelajaran dibahagi kepada dua iaitu Aras I dan Aras II.  Aras I (Tahun 1 – Tahun 3) mementingkan penguasaan terhadap konsep-konsep asas penomboran serta pelaksanaan empat operasi asas matematik (+, -, ÷ dan x).  Aras II (Tahun 4 – Tahun 6) pula mementingkan aplikasi kemahiran operasi asas serta penyelesaian masalah matematik.  Kurikulum ini bertujuan untuk menyediakan peluang yang sama bagi semua murid untuk memperoleh pengetahuan, kemahiran, sikap, peraturan serta amalan sosial masyarakat yang baik. Matematik KBSR ini bertujuan untuk mengembangkan kemahiran mengira di kalangan murid. Mereka perlu juga menguasai kemahiran-kemahiran asas matematik. 


v.Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (1994)

Kurikulum Baru Sekolah Rendah ditukar kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah pada tahun 1994.  Manakala kurikulum matematik sekolah menengah juga mengalami perubahan daripada  Kurikulum Baru Sekolah Menengah (1989) kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah pada tahun 1998.  Perubahan yang dibuat adalah selaras dengan kehendak dan citacita murni yang terkandung dalam  Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1994.  Matlamat utama Pendidikan Matematik dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah  bertujuan untuk memudahkan pelajar membina konsep nombor dan menguasai kemahiran asas mengira.  Dengan ini, diharapkan pelajar dapat menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian dengan berkesan. Berasaskan pengetahuan matematik yang diperolehi, pelajar seharusnya  boleh menguruskan aktiviti harian mereka dengan lebih sistematik.  Ini dapat membantu mereka untuk terus maju dan melanjutkan pelajaran di masa akan datang dan menyumbang kepada pembentukan modal insane yang diperlukan untuk membangunkan masyarakat dan negara. (Sukatan Matematik Sekolah Rendah: April 1993).


vi.  Sukatan Matematik Sekolah Rendah (1998)
Berikutan pelancaran Sekolah Bestari (1995) dan memenuhi keperluan IT (Teknologi Maklumat) seperti yang terdapat dalam cabaran visi 2020, sukatan matematik telah disemak semula. Semakan sukatan matematik pada tahun 1998 mempastikan pelajar menguasai kemahiran asas matematik dan dapat menggunakannya dalam situasi harian sepenuhnya. Jawatankuasa yang berkenaan telah mengagihkan kemahiran belajar yang diperlukan kepada sembilan tajuk utama. Bagi setiap tajuk, kemahirannya disusun dari mudah kepada susah secara hiraki. Tajuk- tajuknya ialah nombor bulat dan operasi asas, pecahan dan operasi asas, perpuluhan dan operasi asas, wang, ukuran panjang dan berat, ruang, purata, peratus dan graf.  Pengubahsuaian dan perubahan yang berlaku dalam perkembangan kurikulum pendidikan matematik bukan hanya bertujuan untuk menambahbaik dan menyelesaikan kelemahan yang terdapat dalam kurikulum terdahulu malahan merupakan tuntutan untuk merealisasikan objektif dan aspirasi seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Visi  2020.  Pada bulan Januari 2003, Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah mula dilaksanakan untuk pelajar Tingakatan 1, 4 dan 6 rendah. Dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, perubahan ini bertujuan supaya pelajar dapat mengakses maklumat untuk tujuan pembelajaran dengan mudah, seiring dengan perkembangan teknologi maklumat.

vii.Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik,PPSMI

     Seterusnya, dibawah KBSR, pendidikan matematik diubah lagi dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003.  Ianya dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan Tahun1 bagi Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 dan 6 bagi Sekolah Menengah. Mata pelajaran matematik diajar dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya. 
Objektif atau rasionalnya bahasa pengantar ditukar adalah untuk memantapkan Bahasa Inggeris.  Ini adalah kerana bidang sains dan matematik merupakan perkara penting dalam kemajuan dan pembangunan seterusnya bersedia untuk bersaing dalam era globalisasi. Bagi mencapai pengajaran yang lebih berkesan, pihak kerajaan telah mewajibkan guru-guru yang terlibat menghadiri kursus dan penyediaan bahan pembelajaran iaitu:-

1.    Buku Teks
2.    Buku Latihan dan Aktiviti
3.    Buku Panduan Guru
4.    MyCD
5.    CD-ROM Guru
6.    Buku Amali
7.    Buku Glosari
8.    Peralatan ICT seperti LCD, Troli dan Laptop.


Murid sekolah rendah pada tahun 2008 merupakan perintis PPSMI yang menduduki UPSR.  Walaubagaimanapun, PPSMI ini dimansuhkan dan tamat mulai tahun 2012.


viii.  Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)

Setelah pemansuhkan PPSMI diputuskan, sistem pendidikan diubah lagi kepada Dasar Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada tahun 2011.  KSSR dimulakan dengan murid tahun satu 2011, pengajaran dan pembelajaran menggunakan modul bagi menggantikan buku teks. Modul pula terbahagi kepada 3 iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif. Pendekatan  teknik pengajaran dan pembelajaran yang dirancang juga akan menjadi lebih menarik dan interaktif.  Dalam KSSR ini, matematik dan sains kembali diajar sepenuhnya dengan Bahasa Malaysia.          
Seperti sebelum ini, pengajaran terbahagi kepada 2 tahap iaitu Tahap 1 akan tertumpu kepada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul),  kemahiran asas teknologi dan maklumat, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai.  Bagi Tahap 2 pula akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi.

     Merujuk Draf KSSR yang telah diedarkan di semua sekolah rendah, mata pelajaran matematik diajar dibahagikan kepada 2 Tahap.  Ini jelas diterangkan dalam rajah dibawah yang dipetik dalam draf tersebut.
  
 (Huraian Sukatan KSSR,2010.11 )



            Bagi mata pelajaran Matematik,  jumlah waktu yang diajar telah dikurangkan dari 7 waktu kepada 6 waktu seminggu.  Matlamat  KSSR dalam mata pelajaran matematik adalah untuk membina pemahaman murid tentang konsep nombor, kemahiran asas dalam pengiraan,  memahami idea matematik yang mudah dan berketarampilan mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran matematik secara berkesan dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian (Draf Dasar KSSR Matematik).  Topik yang dipelajari iailah :

  1. Nombor dan Operasi
  2. Sukatan dan Geometri
  3. Perkaitan dan Algebra
  4. Statistik dan Kebarangkalian

Murid perlu bertindak secara aktif, berinteraksi, menguasai kemahiran belajar melalui pengalaman sendiri dan dapat mengaplikasikan apa yang telah dipelajari dengan kehidupan seharian.  Dasar KSSR ini baru dimulakan dan hasilkan masih lagi dinantikan.  Apa yang kita harapkan ianya dapat memenuhi hasrat kerajaan dan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan