Halaman

Ahad, 6 Disember 2015

isu penguasaan bahasa matematik




Bahasa Matematik merupakan bahasa yang menjadikan asas bagi setiap individu selepas bahasa ibunda. Hal ini kerana daripada tahap pendidikan rendah hingga pendidikan tinggi, setiap individu akan mempelajari bahasa Matematik secara mendalam mengikut peringkat masing-masing.  

   Namun, isu penguasaan bahasa Matematik mula diperkatakan berdasarkan beberapa faktor antaranya kelemahan perbendaharaan kata Matematik. Bahasa Matematik merupakan alat komunikasi yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam subjek Matematik (Noraini Idris, 2005) maka setiap guru dan pelajar perlu menguasai setiap simbol dan istilah. Penguasaan istilah simbol oleh pelajar masih lagi berada di tahap membimbangkan. Secara kasarnya, para pelajar sering kali tersalah konsep bagi memahami istilah simbol tersebut. Sebagai contoh, ≥ dan > membawa maksud yang berlainan. Para pelajar juga sering kali tertukar simbol ≥ dan ≤ ketika menjawab soalan Matematik. 

    Selain itu, pelajar juga mempunyai masalah dalam menukarkan bahasa berayat kepada bahasa Matematik ketika melibatkan soalan penyelesaian masalah. Jika diperhatikan, para pelajar lebih gemar menjawab soalan berstruktur berbanding soalan berayat. Hal ini kerana pelajar tidak menguasai bahasa Matematik dengan baik menyebabkan mereka tidak dapat memahami dan menyelesaikan sesuatu masalah dengan berkesan. Sebagai contoh, pelajar seharusnya memahami beberapa istilah Matematik yang berayat seperti ‘beza’ merujuk kepada proses penolakan atau ‘campur’ merujuk kepada proses penambahan. Kekurangan kefahaman konsep Matematik dalam kalangan pelajar merupakan salah satu isu dalam penguasaan bahasa Matematik. Seseorang pelajar perlu menguasai konsep asas dalam Matematik bagi sesuatu topik. Hal ini kerana setiap tajuk dalam kurikulum berkait antara satu sama lain dan pelajar akan belajar lebih mendalam terhadap topik tersebut mengikut tahap yang ditetapkan. 

    Bagi memantapkan lagi penguasaan bahasa Matematik dalam kalangan pelajar, guru haruslah memainkan peranan penting dalam melaksanakan peranan ini. Antara langkah yang boleh dimainkan ialah guru seharusnya menyelaraskan simbol dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Ketidakfahaman pelajar terhadap sesuatu topik Matematik adalah disebabkan kesalahan konsep terhadap maksud simbol yang dipelajari. Terdapat lima jenis masalah yang berkaitan dengan simbol dalam Matematik iaitu simbol yang tidak konsisten, simbol yang tidak tepat, simbol yang sinonim, simbol ‘archaic’ dan simbol ‘ambiguous’. Berdasarkan masalah simbol ini, guru seharusnya mencari cara menyelesaikan daripada semua aspek kaedah pengajaran, strategi pengajaran dan penyelarasan simbol bagi mengatasi masalah ini. Selain itu, salah faham konsep Matematik dapat diatasi dengan membuat refleksi dan menjelaskan pemikiran pelajar terhadap idea Matematik. Proses penyelesaian masalah dan pemahaman berlaku dalam bidang Matematik melalui aktiviti perbincangan dan komunikasi (Noraini Idris, 2005). Melalui aktiviti ini, pelajar dapat berupaya membuat refleksi dan menjelaskan pemikiran mereka dalam kumpulan mengenai sesuatu topik serta dapat membantu pelajar memahami dan membina kefahaman konsep Matematik. 

     Selain itu, guru boleh menjelaskan sesuatu konsep melibatkan situasi harian pelajar. Melalui cara ini, pelajar berupaya meningkatkan kefahaman sesuatu topik jika dikaitkan dengan kehidupan seharian mereka. Sebagai contoh, konsep isi padu yang dipelajari dikaitkan dengan mengira isi padu tangki air. Melalui ini, pelajar dapat membayangkan situasi tersebut jika mereka diberikan soalan penyelesaian masalah.  

    Bagi menyelesaikan soalan berayat, pelajar perlu menguasai kemahiran menggunakan bahasa Matematik. Tanpa penguasaan yang baik, pelajar tidak dapat menyelesaikan masalah dengan berkesan terutama sekali melibatkan masalah yang lebih kompleks. Oleh itu, seorang pelajar seharusnya memahami masalah, boleh menterjemahkan ayat biasa kepada ayat Matematik dan dapat melaksanakan langkah penyelesaian yang melibatkan operasi dan rumus tertentu. Bagi mengatasi masalah ini, seorang guru Matematik perlu menggunakan bahasa Matematik dengan tepat dan betul dalam proses pengajaran. guru Matematik juga boleh melatih pelajar menyelesaikan soalan berayat dengan cara menggariskan dan mengeluarkan isi-isi penting daripada soalan yang dikemukakan. Melalui ini, pelajar akan berasa lebih mudah untuk menjawab soalan berayat jika mereka sudah mengetahui teknik-teknik yang betul bagi menjawab soalan tersebut. 

      Secara umumnya, pendidikan pelajar bermula dari rumah lagi. Justeru, menjadi tanggungjawab ibu bapa mempraktikkan bahasa Matematik dari rumah lagi (Noraini Idris, 2005). Sebagai contoh, biasanya bola dipanggil sebagai bentuk bulat oleh masyarakat, namun dari bahasa Matematik bola adalah berbentuk sfera. Oleh itu, konsep ini perlu diubah supaya proses didikan anak mengenai bahasa matematik menjadi mudah dan jelas. Selain itu, ia menghindarkan anakanak daripada mendapat konsep yang salah dan kabur mengenai pengetahuan mereka dalam Matematik. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan