Halaman

Sabtu, 7 November 2015

Kepentingan Penggunaan Bahan yang Efektif dalam Pengajaran dan Pembelajaran


   Sedasawarsa ini, guru-guru sering menghadapi masalah dalam memberikan pemahaman konsep yang mantap kepada murid-murid. Sering kali murid tertukar konsep-konsep pembelajaran antara tajuk-tajuk yang mereka murid-muridi, contohnya, konsep peratus dengan pecahan dan sebagainya. Oleh itu, guru-guru haruslah kreatif dan kritis dalam berfikir bagi membina satu resos yang sesuai untuk dijadikan sebagai bahan bantu belajar dalam pengajaran dan pembelajaran supaya ianya dapat meningkatkan mutu kefahaman dalam kalangan murid-murid. Penggunaan resos yang efektif sebenarnya mampu mewujudkan kejayaan mencapai objek pengajaran dan pembelajaran pada hari itu. Oleh itu, terdapat banyak kepentingan dalam menggunakan resos bagi menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. 
 Antaranya ialah,dengan menggunakan bahan yang efektif, guru-guru boleh mencapai objektif pembelajaran dan pengajaran dengan senang dan berkesan. Hal ini dapat dilihat apabila penggunaan bahan yang dibina, digunakan oleh murid-murid secara menyeluruh, mereka akan dapat menjawab soalan-soalan latihan yang diberikan dengan berkesan. JIka kita dapat perhatikan, murid-murid yang dapat menjawab soalan dengan cepat dan betul merupakan murid-murid yang faham akan konsep pembelajaran pada hari itu.  Selain itu juga, mereka akan mampu untuk menyatakan kembali apa yang telah mereka pelajari pada hari ini secara mantap dan tepat dan dapat menggalakkan pemikiran secara membina.

  Penggunaan bahan bantu belajar juga bertujuan untuk membantu guru mengajar dengan lebih berjaya selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mengutamakan kepentingan terhadap keperluan murid-murid. Melalui falsafah ini, Kementerian Pendidikan di Malaysia berusaha menjelaskan konsep pembangunan kemanusiaan dalam penggubalan kurikulum selain memberi perhatian kepada perkembangan individu khususnya dari aspek JERIS iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Perkembangan yang seimbang berdasarkan konsep JERIS adalah amat diperlukan oleh murid-murid supaya mereka berdaya saing dalam era pasca globalisasi pada masa kini. Setiap sesuatu kejayaan yang besar adalah bermula daripada satu langkah tapak kaki. Sehubungan itu, bahan bantu belajar dapat dilihat sebagai medium yang berupaya menyerlahkan bakat dan potensi murid-murid dalam sesuatu subjek yang mana mereka akan meneroka bahan tersebut dan meningkatkan daya pemikiran mereka supaya menjadi lebih kreatif dan kritis. Inilah pembangunan pendidikan yang kita inginkan terhadap murid-murid masa kini. 

   Tambahan pula, bahan bantu belajar yang dipilih mampu mempengaruhi minat murid-murid untuk meneruskan tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran pada waktu tersebut. Guru-guru harus memainkan peranan penting dalam menyediakan bahan bantu belajar yang sesuai selaras dengan perkembangan semasa supaya murid-murid pada hari ini dapat mempraktikkan pemikiran di luar kotak. Bahan-bahan pengajaran dan bahan bantu belajar ada dalam pelbagai bentuk. Bahan-bahan itu mungkin dalam bentuk buku, carta atau slaid yang dipancarkan pada layar dan sebagainya yang merupakan bahan yang menyokong penyampaian pengajaran dan pembelajaran.Oleh itu, kepelbagaian bahan bantu belajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran adalah amat digalakkan kerana setiap murid mempunyai kecerdasan yang pelbagai,dengan kepelbagaian bahan bantu belajar yang ada, murid-murid pasti akan memilih bahan yang mereka minati bagi membantu mereka memahami konsep subjek dalam pengajaran dan pembelajaran pada waktu tersebut.  
 
  Selain itu, penggunaan bahan bantu belajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dapat menggalakkan murid-murid untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Dengan penggunaan bahan bantu belajar yang sesuai dengan tajuk, murid-murid akan dapat menjana idea-idea yang baru dan membuat inovasi terhadap tajuk atau bahan yang mereka gunakan. Hal ini adalah amat digalakkan selaras dengan membentuk kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Dalam menjalankan pengajaran berbentuk pemikiran secara kreatif dan kritis, ianya memang susah kerana setiap murid membesar dalam persekitaran yang berbeza. Oleh itu, guru memainkan peranan yang sangat penting ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku supaya penjanaan minda terhadap murid-murid dapat dilaksanakan secara ansur maju.    
    Tambahan pula,murid-murid juga akan mudah tertarik dengan subjek tersebut jika kita menggunakan konsep bermain sambil belajar dengan menggunakan bahan bantu belajar. Dengan pembinaan bahan bantu belajar yang bersifat permainan, murid-murid pasti akan lebih berminat untuk menggunakan bahan bantu belajar tersebut kerana sememangnya fitrah seorang murid-murid suka bermain sambil belajar. Selain itu, bahan bantu belajar itu mestilah menarik dan berwarna-warni mengikut kesesuaian aktiviti supaya murid-murid akan dapat mengenali warna sambil bermain menggunakan bahan bantu belajar yang disediakan. Jika mereka menggunakan bahan bantu belajar tersebut sepenuhnya, pasti mereka akan dapat memahami konsep subjek itu dengan sebaiknya. Secara tidak langsung objektif pengajaran pasti akan tercapai.

   Selain itu, dengan penggunaan bahan bantu belajar, ianya dapat memberi kefahaman kepada murid-murid dengan mudah dan cepat. Dalam setiap bilik darjah, tidak semua murid mempunyai kecerdasan yang sama, ada sesetangah murid perlu belajar dengan menggunakan muzik, ada yang perlu menggunakan bahan elektronik seperti iPad,iPhone atau komputer. Penggunaan bahan bantu belajar yang sesuai pasti akan dapat memberikan kefahaman yang baik dan mantap serta cepat kepada murid-murid. Namun begitu, guru haruslah kreatif dalam menyediakan bahan bantu belajar yang mengikut kemampuan guru dan juga yang mampu memenuhi keperluan murid-murid supaya objektif pembelajaran pada waktu tersebut akan mudah tercapai tanpa melibatkan kos yang tinggi.

  Yang paling meyeronokkan adalah, dengan adanya bahan bantu belajar, ianya akan menggalakkan penglibatan murid-murid di dalam bilik darjah secara langsung. Cara ini adalah cara yang paling baik dan patut digunakan oleh semua guru kerana cara ini terbukti merupakan cara terbaik bagi memastikan murid-murid akan memahami konsep subjek tersebut dengan baik. Bahan bantu belajar yang berbentuk 3D adalah bahan yang paling baik, dan jika seseorang guru itu berkemampuan, guru boleh menyediakan bahan-bahan tersebut bagi setiap murid supaya mereka boleh meneroka dan memegang sendiri barang tersebut. Murid-murid akan terlibat secara langsung dalam pengajaran dan pembelajaran dan mereka pasti tidak akan berasa bosan dengan subjek tersebut. Kita dapat lihat pelbagai kemahiran dalam kalangan murid-murid yang akan dapat ditonjolkan jika cara ini diguna pakai dalam bilik darjah.  Oleh itu, kita boleh lihat betapa pentingnya penggunaan bahan bantu belajar 3D dan penggunaannya digunakan sepenuhnya oleh murid-murid.  

  Penggunaan bahan bantu belajar juga dapat menilai perkembangan intelek murid-murid. Murid-murid dapat mengetahui tahap keupayaan, kesediaan dan kecerdasan untuk belajar. Murid-murid juga akan dapat mengetahui pelbagai kemahiran sekaligus dapat membantu mereka berfikir dengan lebih kreatif dan logik. Mereka juga dapat menambahkan maklumat tambahan ke dalam minda dan akan mengembangkan potensi pemikiran mereka dalam mendedahkan mereka dengan cara menyelesaikan masalah, contohnya dengan menggunakan Polyas’ Model. Cara berfikir seperti ini perlu dipupuk semenjak mereka kecil lagi supaya mereka akan lebih kreatif pada masa hadapan. Perkembangan intelek yang seimbang dapat menyeimbangkan aktiviti harian dan kecerdasan murid-murid dalam pelbagai aspek kehidupan berdasarkan konsep JERIS.

  Bahan bantu belajar yang disediakan, jika berbentuk permainan adalah sangat digalakkan. Bermain sangat penting dalam memupuk interaksi murid-murid dengan rakan-rakan mereka, guru-guru dan orang-orang di sekeliling mereka termasuklah dengan ibu bapa. Menurut teori instinct (naluri), alam kanak-kanak merupakan tempoh persediaan diri untuk ke alam dewasa (Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah, 2009). Murid-murid akan dapat mengenali dan mengetahui bahawa emosi seseorang mungkin berbeza mengikut situasi tertentu dan tahu bagaimana cara untuk mengawal emosi tersebut. Bermain juga dapat meningkatkan keyakinan dan keberanian diri kanak-kanak supaya tidak malu untuk bersosial dengan orang lain. Pembelajaran kooperatif adalah amat sesuai digunakan bagi meningkatkan kemahiran sosial murid-murid.

  Secara tuntasnya, pengajaran dan pembelajaran matematik amat bergantung kepada bahan manipulatif untuk melakukan proses pengiraan secara berkesan. Salah satu jenis bahan manipulatif yang sangat berguna untuk melakukan pengiraan ialah bahan asas 10.Contoh bahan asas 10 yang biasa digunakan ialah Blok Dienes. Selain daripada itu,rod Cuisenaire,Cipberwarna,Ikatan Straw dan Abakus juga merupakan bahan manipulatif yang biasa digunakan dalam pengiraan asas matematik. Contoh – contoh bahan manipulatif yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran matematik adalah seperti dalam gambar rajah di bawah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan