KEGAGALAN menguasai asas matematik dan algebra kerana malas mencuba menjawab soalan-soalan lepas asas algebra tidak kukuh, selain sikap pelajar sendiri yang sentiasa menganggap mata pelajaran itu sukar
hasil kajian yang dibentangkan oleh Salmah Mohd. Tahar dan Zailah Zainuddin dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu dalam kertas kerja bertajuk Faktor Kejayaan Pelajar Dalam Subjek Matematik Tambahan dari Perspektif Guru mendapati, kegagalan menguasai asas-asas Matematik itu menyebabkan mereka sering melakukan kecuaian semasa menjawab soalan.
Pelajar ini, walaupun berpendapat belajar Matematik Tambahan adalah menyeronokkan, tetapi mereka mudah kecewa apabila gagal menjawab soalan.
''Pelajar juga didapati tidak rajin mencuba soalan-soalan SPM yang lepas dan mempunyai keyakinan yang rendah yang mereka boleh lulus dalam peperiksaan tersebut,'' katanya dalam Seminar Kebangsaan Pendidikan Matematik 1999 di Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kajian yang dijalankan pada bulan Jun hingga Ogos ini melibatkan sebanyak 98 guru Matematik Tambahan seluruh Terengganu menggunakan pendekatan soal selidik dan perbincangan secara sumbang saran.
Kata dua pembentang itu lagi, kelemahan pelajar dalam mata pelajaran ini juga dikesan berpunca daripada kurangnya guru berpengalaman.
Hasil kajian mendapati, hanya sebilangan kecil sahaja guru yang mempunyai pengalaman mengajar Matematik Tambahan melebihi enam tahun, mempunyai pengalaman menanda kertas SPM dan menggubal soalan di peringkat negeri mahupun kebangsaan.
Bagi mengatasi masalah-masalah, pengkaji mencadangkan guru-guru Matematik Tambahan mempraktikkan teknik pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan menyeronokkan melalui kreativiti dan inovasi.
''Oleh kerana pelajar sering melakukan kecuaian semasa menjawab soalan, adalah dicadangkan agar guru-guru menekankan pengajaran daripada aspek membuat semakan sendiri, setiap kali menyelesaikan sesuatu masalah.
''Modul pengajaran berbentuk pemeriksaan sendiri boleh dibentuk,'' kata mereka.
Di samping itu, guru-guru juga disarankan menyediakan Modul Khas Algebra untuk pelajar Matematik Tambahan bagi mengatasi masalah penguasaan pelajar dalam mata pelajaran ini.
Selain itu, masa pengajaran daripada empat masa seminggu perlu ditambah menjadi lima atau enam. Satu atau dua masa tambahan juga boleh diadakan di luar waktu persekolahan biasa.
''Lima masa tersebut lebih baik jika diajar secara single period dan disusun supaya mata pelajaran ini diajar di sebelah pagi sebelum waktu rehat kerana mata pelajaran ini memerlukan tahap penumpuan dan kesediaan mental yang tinggi,'' jelas mereka.
Bagi guru pula, pengkaji mencadangkan JPN mengadakan kursus Peningkatan Prestasi Matematik Tambahan sekurang-kurangnya dua kali setahun dan pengisian kursus termasuklah Kaedah Pengajaran Pembelajaran berkesan serta perkongsian idea dalam menyelesaikan masalah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan